Dasar sokong pertumbuhan ekonomi gig, pekerjaan dirangka
RM75 juta diperuntuk bagi laksana 2 langkah berkaitan

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Kerajaan akan merangka dasar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor itu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata sebagai kerajaan yang prihatin terhadap keselamatan sosial dan kebajikan mereka yang terlibat, sejumlah RM75 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan dua langkah berkaitan.
“Pertama, geran bernilai RM50 juta dalam bentuk dana padanan akan diperuntukkan kepada platform ekonomi gig untuk mencarum bagi pekerjanya di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)) dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
“Langkah kedua, peruntukan sebanyak RM25 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi program ‘Global Online Workforce’ yang bertujuan membimbing rakyat Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa,” katanya hari ini.
Muhyiddin berkata demikian semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi saluran radio dan televisyen.
Ekonomi gig merupakan trend sistem pasaran bebas bercirikan kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu atau organisasi.
Ia dipacu oleh persekitaran digital, dan kesediaan aplikasi yang secara langsung menyampaikan maklumat dan peluang untuk bekerja. – Bernama