Berita Utama

Hasil mesyuarat Bersatu diumum hari ini

Mesyuarat semalam dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Perincian mengenai mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi akan diumumkan pada satu sidang media yang akan diadakan hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika ditemui pemberita berkata segala persoalan mengenai perbincangan pada mesyuarat itu, akan dijawab dalam sidang media berkenaan.

“Perbincangan kita panjang sangat, satu persatu saya akan jelaskan esok, lebih mudah. Masa (sidang media) akan dimaklumkan esok,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada pukul 8.24 malam di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya bagi mempengerusikan mesyuarat berkenaan sebelum meninggalkan kawasan itu kira-kira pukul 11.40 malam.

Sementara itu, Ahli MPT Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui selepas mesyuarat itu, berkata perjumpaan berlangsung dalam suasana harmoni.

“Semua bagi sokongan kepada perdana menteri dan presiden parti (Muhyiddin),” katanya.

Senada dengan Faizal, Ahli MPT Datuk Seri Redzuan Md Yusof turut menyatakan perbincangan dibuat secara baik.

“Mesyuarat berlangsung dengan baik sekali, saya rasa PN (Perikatan Nasional) sangat stabil,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button