Berita Utama

Indeks COVID-19 global dilancarkan

GCI mampu memproses kira-kira 3,000 titik data dalam masa sehari

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Indeks pertama mengenai COVID-19 di dunia yang menyeluruh dan komprehensif, Indeks COVID-19 Global (GCI) dengan algoritma proprietari yang mampu memproses kira-kira 3,000 titik data sehari, telah dilancarkan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata indeks itu boleh menarik bersama metrik daripada pangkalan data sumber terbuka yang disahkan dan terkenal mengenai tadbir urus dan penjagaan kesihatan awam sementara ia mampu menilai secara komprehensif ketenatan sebenar dan kemajuan pemulihan negara-negara.

“GCI itu terdiri daripada Indeks Ketenatan dan Indeks Pemulihan, dengan yang pertama mengukur setenat mana keadaan di sesebuah negara dengan kemampuan sistem penjagaan kesihatannya untuk mengekang penularan wabak sementara yang kedua mengukur sebaik mana sesebuah negara menangani krisisi ini daripada perspektif kesihatan dan keselamatan.

“Ia juga menilai dan menentukan ranking 184 negara berdasarkan sebaik mana mereka menghadapi pandemik COVID-19, dengan GCI bersedia menjadi sumber data tunggal yang mampu memudah cara untuk kerajaan di seluruh dunia membuat keputusan yang bermaklumat bagi memerangi COVID-19,” katanya.

Khairy juga menyebut bahawa GCI boleh menjadi alat hebat untuk membantu kerajaan membuat keputusan kritikal dalam menangani pandemik itu, dan ia turut boleh menjadi satu penunjuk kepada sektor swasta untuk menyambung semula operasi biasa atau sama ada mereka sepatutnya menyediakan pelan mitigasi.

“Indeks berasaskan fakta dan dikemas kini setiap hari mampu membantu negara-negara di seluruh dunia merancang strategi terbaik mereka dalam menangani COVID-19 dan mempelajari amalan terbaik dari negara yang telah pulih daripada wabak itu.

“GCI ini merupakan platform terbuka untuk memudah cara pembelajaran pantas antara negara dan organisasi berdasarkan Data Raya dan Sains Terbuka,” katanya.

GCI adalah kerjasama antarabangsa antara MOSTI; PEMANDU Associates; Fakulti Kesihatan Awam T H Chan, Harvard University; Akademi Sains Malaysia; Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Sunway University.

Selepas majlis pelancaran, berlangsung sesi webinar yang mengetengahkan pakar dalam sistem kesihatan, sektor awam dan pembentangan epidemik daripada Fakulti Kesihatan Awam T H Chan, Harvard University dan WHO bagi membincangkan Data Raya dan teknologi yang boleh digunakan secara strategik untuk memerangi COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button