Berita Utama

Isu arak: Pemuda ISMA anjur bantahan di seluruh cawangan

Bentuk kumpulan kajian, pendesak agar kerajaan bertindak tegas

BANGI, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Tragedi penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara baru-baru ini, menjadi pemangkin semangat Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memperjuangkan isu berkait arak.

Ketua Pemudanya, Arifin Manan berkata, beliau telah mengarahkan semua ahli Pemuda ISMA di setiap cawangan untuk bersama-sama penduduk setempat membantah penjualan arak secara terbuka, membentuk kumpulan kajian dan pendesak agar pihak kerajaan bertegas di dalam meminda akta berkaitannya.

“Isu arak adalah isu semua merentasi sempadan agama dan kaum. Hanya yang bertuhankan nafsu yang menyokong industri arak,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Zahlawati Zahlan, balu kepada Mohamed Zaili Mohamed yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk Isnin lalu.

Mohamed Zaili, 44, meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu oleh pemandu mabuk.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.

Mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button