Berita Utama

Jugah keluar PKR, ikrar sokong PM

Kesal apabila berlaku masalah dalam kalangan parti PH

KUCHING, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Jugah dalam kenyataan malam ini berkata, beliau menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

“Kawasan Parlimen saya terletak di luar bandar yang memerlukan bantuan kerajaan untuk pembangunan.

“Justeru, saya menyokong penuh PN dan GPS demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Lubok Antu,” katanya.

Jugah berkata, beliau kesal apabila berlaku masalah dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH).

“Saya kesal berikutan permasalahan dalaman PH menyebabkan Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan sehingga akhirnya kerajaan PH tumbang.

“Sehubungan itu, saya mengumumkan keluar dari PKR dan bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas yang menyokong penuh kerajaan PN dan GPS,” katanya.

Jugah memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Sejurus selepas PRU-14, penyokong beliau beramai-ramai menyertai PKR dan Jugah kemudian turut menyertai parti itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close