Berita Utama

SMS propaganda seperti mekanisme kerajaan komunis

'Ini contoh salah guna kemudahan kerajaan untuk berpolitik secara halus'

BANGI, 15 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Tindakan kerajaan menyebarkan propaganda menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) rasmi dilihat sebagai terdesak dan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, tindakan kerajaan yang dilihat masih berkempen, biarpun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah berakhir bagi menjustifikasi kewujudan atau keabsahan kerajaan hari ini adalah satu langkah yang tidak sepatutnya dilaksanakan.

Katanya, penyebaran luas propaganda menerusi SMS dengan menyatakan kerajaan hari ini adalah langkah penyelesaian berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang seakan mahu rakyat menerima kerajaan sedia ada dengan hati terbuka.

“Ini adalah contoh salah guna kemudahan telekomunikasi kerajaan untuk berpolitik secara halus.

“Propaganda sebegini bagaikan mekanisme kerajaan komunis atau diktator yang mahu mencuci otak rakyat supaya terima naratif pemerintah,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Faiz berkata, langkah yang diambil itu seumpama mahu menjelas selain meyakinkan rakyat pimpinan sedia ada adalah individu tepat dan tidak perlu diragui.

“Tindakan tersebut seolah-olah kerajaan sedia ada takut dan tidak yakin dengan keupayaan, selain meragui penerimaan masyarakat terhadap kerajaan yang ada hari ini.

“Apakah kerajaan yang ada pada hari ini takut dan tidak yakin dengan penerimaan orang awam serta rakyat Malaysia terhadap mereka hingga perlu hantar SMS sebegini,” katanya.

Beliau berpandangan, SMS rasmi daripada kerajaan sewajarnya digunakan untuk menyampaikan perkara-perkara yang penting kepada orang awam atau hal kecemasan atau sebarang perkhidmatan untuk rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button