Berita Utama

Kempen tolak rasisme Dong Zong umpama ‘paku dulang paku serpih’

Lancar kempen tangani kebencian tapi tolak kesepakatan nasional

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Tindakan pertubuhan radikal Cina, Dong Zong melancarkan kempen sebagai usaha menangani kebencian dan diskriminasi terhadap kumpulan masyarakat tertentu, di tengah-tengah pandemik COVID-19 disifatkan sebagai hipokrit.

Ibarat paku dulang paku serpih, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Zaizul Azizi Zaman mendakwa, pihak Dong Zong wajar mencermin diri sendiri kerana selama ini merekalah yang memperjuangkan rasisme.

Dakwanya, perkara itu dapat dilihat apabila pertubuhan radikal Cina itu sebelum ini menolak pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular serta tidak menerima segala usaha penyatuan masyarakat majmuk di bawah satu identiti kebangsaan.

“Bahkan kumpulan yang konsisten rasis menolak semangat kesepakatan nasional dan sangat memusuhi identiti kenegaraan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Dong Zong melancarkan kempen Menyalur Kasih Sayang Menjelang Wabak COVID-19 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepelbagaian serta masalah rasisme dan xenofobia (prejudis terhadap orang asing) yang wujud.

Pertubuhan radikal Cina itu mendakwa, sejak penularan COVID-19, ketakutan terhadap wabak ini telah membawa kepada kebencian dan diskriminasi terhadap kumpulan masyarakat tertentu, terutama pekerja migran dan juga pelarian di seluruh dunia.

Justeru, menerusi kempen di media sosial, Dong Zong mengajak orang ramai agar menghasilkan slogan berkenaan konsep kepelbagaian dan mengambil gambar bersama slogan itu untuk dijadikan gambar profil di media sosial mereka.

Dong Zong antara pertubuhan yang rancak bergerak ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, apabila manifesto parti itu terkandung janji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – antara perkara yang diperjuangkan sejak dahulu.

Sepanjang 22 bulan PH mentadbir, pelbagai usaha digerakkan Dong Zong antaranya menolak pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah vernakular dan meminta kerajaan menambah bilangan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button