Berita Utama

Kerajaan perlu teruskan insentif PKS dalam pelan pemulihan ekonomi

PKS berdepan beban bayar sewa premis, ia masalah utama mereka

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Kerajaan disarankan untuk meneruskan pemberian insentif dan memperhalusi pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 petang nanti.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Dr Keshminder Singh Jit Singh berkata, pendekatan jangka pendek tersebut dapat membantu PKS yang telah kehilangan punca pendapatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mac 18, 2020.

“Masalah utama PKS ialah membayar sewa premis, dan ia akan jadi masalah utama mereka.

“Jadi, kerajaan perlu mengambil kira perkara tersebut untuk membantu sektor ini dengan sekurang-kurangnya bagi mereka subsidi bayaran sewa, dan perkara tersebut perlu diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Koresponden Bernama yang bertajuk Aspek-aspek Penting Pelan Pemulihan Ekonomi di Bernama TV hari ini.

Bagi sektor-sektor yang masih tidak dapat kebenaran untuk beroperasi lagi, seperti industri hiburan, riadah dan perkhawhinan, Keshminder Singh berpendapat bahawa mereka yang terlibat akan memerlukan sokongan daripada kerajaan selepas bermula operasi.

“Dan ini juga adalah aspek yang kerajaan perlu melihatkan,” katanya.

Untuk pendekata jangka panjang, Keshminder Singh berpendapat bahawa kerajaan perlu memberi PKS informasi mengenai kecerdasan buatan (AI) supaya mereka dapat memperolehi maklumat “first hand” daripada pengguna semasa membuat urusan perniagaan “online” atau melalui e-dagang.

“Sekarang, citarasa dan gaya hidup rakyat Malaysia telah berubah dan kita semakin cenderung mengakses Internet untuk membeli-belah ataupun menonton Netflix dirumah.

“Justeru itu, kerajaan perlu memberi PKS informasi mengenai AI supaya mereka boleh mendapat maklumat ‘first hand’ daripada pengguna, dan menghasilkan produk-produk baru untuk memuaskan kehendak pengguna,” katanya.

Menyentuh isu penggangguran yang merupakan perkara yang paling merunsingkan rakyat Malaysia sekarang, Keshminder Singh berkata sebagai penyelesaian jangka pendek, program subsidi upah yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebelum perlu diteruskan untuk mengelakkan pengangguran.

“But to me, this is not sustainable. Sampai bila (ia perlu diteruskan)?

“Tetapi saya tidak menolak (idea ini) dan saya rasa inisiatif ini perlu diteruskan, dengan tier upah subsidi perlu ditingkatkan dengan mengambil kira mereka dengan gaji RM4,000 dan ke atas,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut perlu diteruskan sebab jangkaaan pengangguran akan meningkat dengan kadar yang mendadak dalam masa yang akan datang.

Di bawah program subsidi upah sebelum ini, majikan boleh membuat tuntutan sebanyak RM600 bagi tempoh tiga bulan untuk setiap pekerja berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close