Berita Utama

KPN syor pemandu mabuk dipenjara mandatori

Hukuman mencegah perlu dimasukkan dalam pindaan perundangan baharu

BANGI, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Hukuman penjara bersifat mandatori perlu diambil kira dalam pindaan undang-undang bagi menangani isu pemandu mabuk di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, isu berkenaan sudah lama dibincangkan, termasuk banyak kertas cadangan disediakan namun baru kini ramai yang melihat betapa kritikal masalah berkenaan.

“Ia seperti semakin kerap kita bercakap mengenainya, esoknya akan ada kes memandu dalam keadaan mabuk. Ia seperti bermusim. Dari satu sudut, saya melihat hukuman yang mencegah perlu dimasukkan dalam pindaan undang-undang baharu itu.

“Perlu ada hukuman pemenjaraan yang mencegah, yang akan mencegah mereka daripada melakukan perbuatan itu. Jika ia dibiarkan begitu saja (seperti peruntukan sedia ada) terpulang kepada hakim untuk meletakkan hukuman, dan bergantung kepada interpretasi mereka.

“Hukuman pemenjaraan itu boleh menjadi pencegahan terhadap individu yang fikir mereka boleh minum minuman keras dan membahayakan orang lain,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Akhir-akhir ini, berlaku beberapa kes nahas jalan raya membabitkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

Terdahulu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan, sejumlah 22 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, mereka yang ditahan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 41 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close