Berita Utama

UEC: Jangan tunduk desakan Hua Zhong demi sokongan politik

Tuntut penjelasan isu ambilan calon PISMP bahasa Cina guna sijil UEC

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera memuktamadkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memandangkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) telah selesai menjalankan tugasnya. 

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, keputusan tegas dan muktamad daripada KPM adalah penting untuk memastikan isu berkenaan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Kerajaan tidak perlu tunduk kepada mana-mana desakan demi meraih sokongan politik termasuk desakan Hua Zhong. 

“Kerajaan juga perlu memberikan penjelasan berhubung pengambilan calon PISMP bahasa Cina yang menggunakan sijil UEC sebagai kelayakan ke IPG,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sin Chew Daily berhubung pertemuan organisasi Cina, Hua Zhong dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC. 

Pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Goh Tian Chuan yang juga Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Sabah mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara. 

Dakwanya lagi, perjuangan mengiktiraf UEC masih belum berakhir walaupun telah berlalu beberapa penggal kerajaan dan pernah terkandung antara salah satu manifesto PH pada PRU14 lalu.

Laporan Sin Chew Daily itu turut mendakwa kononnya Muhyiddin berharap bahawa UEC akhirnya diiktiraf, namun akui bahawa ianya sukar dilakukan. 

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa Muhyiddin tidak menyatakan kerajaan akan mengiktitaf sijil berkenaan, sebaliknya menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan jika mahu dipertimbangkan penyelesaiannya pada masa hadapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button