Berita Utama

MPT iktiraf Muhyiddin pemangku Pengerusi Bersatu

Keahlian Tun M, 4 Ahli Parlimen lain terhenti serta merta

BANGI, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung malam tadi bersetuju mengiktiraf Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi parti itu yang sah selaras Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, klausa itu terpakai susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti itu pada 24 Februari lalu.

Hamzah berkata, MPT juga bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas dilantik Yang di Pertuan Agong berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Selain daripada itu, mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keputusan untuk Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari 2020.

“Dan pengumuman rasmi yang dibuat Muhyiddin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari adalah sah dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Hamzah berkata, MPT turut mengesahkan bahawa keahlian Dr Mahathir bersama empat Ahli Parlimen yang lain terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu dan tafsiran berhubung perkara itu adalah muktamad.

“MPT juga mengesahkan bahawa Datuk Marzuki Yahya diberhentikan sebagai Setiausaha Agung melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac 2020 dan pelantikan diri saya sebagai pengganti yang baru pada 26 Mac 2020 adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, MPT turut mengesahkan bahawa Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah Setiausaha Kerja Bersatu yang sah sejak sekian lama dan sebarang surat pemakluman yang ditandatanganinya adalah terpakai secara rasmi.

“MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mantan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan semua ahli MPT yang meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti.

“Dengan pengesahan dan ketetapan yang diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button