Berita Utama

PEMBELA desak kawal ketat penjualan arak, hadkan lesen

Premis jual alkohol perlu ambil tanggungjawab jika pelanggan mabuk

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas dan holistik bagi membendung gejala pemandu mabuk melalui tindakan pendidikan, perundangan serta hukuman yang setimpal. 

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri itu tidak sejajar dengan nilai serta norma lazim di Malaysia. 

Malah, tegas beliau, ia juga tidak berpaksikan kepada budaya leluhur dalam negara Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Justeru, PEMBELA mendesak kerajaan melipatgandakan usaha memberi makluman kepada umum mengenai bahaya minum arak dan mabuk di khalayak ramai. 

“Seterusnya kerajaan perlu mengawal premis penjualan arak secara ketat dan mengehadkan lesen penjualan tersebut. 

“Ia sewajarnya ditetapkan pada jumlah yang tertentu sahaja berdasarkan bilangan penduduk dewasa di satu-satu tempat. Hanya tempat tertentu yang dibenarkan, yang kita rasa boleh kawal jumlah dan premis yang jual,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Selain itu, katanya lagi, bagi mengelakkan orang awam memandu dalam keadaan mabuk, PEMBELA menggesa agar kerajaan meminda undang-undang sedia ada.

“Premis yang menyediakan minuman memabukkan perlu bertanggungjawab ke atas pelanggan mereka untuk memastikannya tidak keluar dari premis dalam keadaan mabuk. 

“Dan jika mereka mabuk, premis itu bertanggungjawab menghantar atau menyediakan kenderaan pulang. 

“Kegagalan berbuat demikian, akan menyebabkan perniagaan mereka turut dipertanggungjawabkan bersama. Jadi jangan lepas tangan,” katanya.

Seterusnya, kata Haji Aminuddin, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan tanpa mengira sama ada seseorang individu mabuk yang memandu terlibat dalam kemalangan atau pun tidak. 

“Gubal peraturan khusus bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kerosakan awam, kecederaan dan kematian dikenakan, kenakan tindakan gantirugi, bayar kerosakan harta awam, bayar mangsa yang cedera dan juga keluarga mangsa yang maut. 

“Sedih kerana mangsa maut tidak terbela nasib mereka. Perlu dilihat keluarga mereka. Terutama sekali apabila pencari nafkah mereka menjadi mangsa,” katanya.

PEMBELA juga menggesa agar pihak berkuasa membatalkan lesen pemandu yang didapati memandu secara mabuk

“Selain itu hadkan minuman keras di premis persendirian sahaja. PEMBELA ingin kerajaan mengambil langkah lebih tegas, membanteras bagi mengekang gejala tersebut dengan melaksanakan cadangan-cadangan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button