Berita Utama

Pengendali taska diberi geran untuk patuh SOP

Waktu operasi UTC dilanjutkan berkuat kuasa 1 Julai

PUTRAJAYA, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Bagi meningkatkan kembali keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak ke taman asuhan kanak-kanak (taska), kerajaan akan memberikan geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan turut memberikan e-baucar untuk perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian.

“Selain itu, insentif cukai pendapatan individu juga akan diberikan untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.

“Perkara ini akan dikawal selia Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, serta Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen hari ini

Kerajaan memperkenalkan PENJANA dengan tema Bersama Menjana Ekonomi sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter akan disediakan bagi terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk melaksanakan proses mematikan setem, menyemak dan menuntut Wang Tidak Dituntut bermula 1 Oktober 2020 dan sesi e-temuduga bagi permohonan biasiswa kerajaan.

“Sehubungan itu, saya menyeru lebih banyak agensi dan Kementerian untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan dan menyeragamkan waktu operasi di Pusat Transformasi Bandar atau UTC di seluruh negara berkuat kuasa 1 Julai 2020.

“Saya mengambil maklum rata-rata rakyat masih berharap perkhidmatan Kerajaan dapat beroperasi di luar waktu pejabat untuk memudahkan urusan dengan agensi-agensi kerajaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button