Pendapat

Percubaan tundukkan prinsip Islam di bawah sifir politik kepartian

Umat Islam tidak akan terima perjuangan politik parti rasis cauvinis

BAGAIMANAKAH seseorang ahli politik Melayu/Islam boleh melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar bersama-sama pihak kuffar yang menentang makruf dan mendukung mungkar?

Mari kita ajukan satu dua pertanyaan:

Apakah prinsip-prinsip Islam yang tegas, jelas dan terang perlu dibaca dan ditundukkan di bawah sifir dan kehendak-kehendak politik, ahli-ahli dan parti-parti politik?

Satu lagi, apakah terdapat nas atau dalil dari al-Quran dan juga Hadis tentang peranan kaum kuffar di dalam tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar?

Perbincangan atau perbahasan tentang tasawwur Amar Makruf Nahi Mungkar dari sudut Islam tidak perlu dimulakan di sini kerana ia sudah jelas termaktub di dalam al-Quran dan Hadis serta perbendaharaan kitab-kitab para ulama muktabar lagi berwibawa.

Yang menjadi kemusykilan dan tanda tanya adalah: Adakah terdapat satu pentafsiran baru yang mendefinisikan istilah, prinsip, konsep, maksud, tujuan dan objektif Amar Makruf Nahi Mungkar ini dari perspektif dan kerangka demokrasi Barat dan neraca politik kepartian tempatan?

Saya mendapati inilah pegangan segelintir pihak dari kalangan umat Islam yang begitu ghairah dalam penglibatan politik untuk ‘melihat kembali’ prinsip-prinsip Islam supaya dapat disesuaikan dan disejajarkan dengan agenda dan maslahat politik kepartian mereka.

Banyak frasa, ungkapan dan istilah yang menduduki nilai dan perbahasan khusus telah ‘diculik’ dan dirobek sewenang-wenangnya oleh politikus-politikus Melayu/Muslim yang tidak amanah dan bertanggungjawab hanya demi memenuhi impian dan hasrat untuk berkuasa.

Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syari’ah dan terkini Amar Makruf Nahi Mungkar adalah di antara beberapa contoh yang gemar dipilih dan disebarluaskan secara sembrono dan agresif oleh segelintir ahli politik Melayu/Muslim dan juga organisasi-organisasi yang mempunyai cita-cita politik untuk berkuasa.

Sebelum ini juga umat Islam telah digemparkan dengan penggunaan ayat “You lead us towards siratal mustaqim” yang ditujukan kepada pihak Pakatan Harapan dan beberapa pemimpin mereka.

Perkembangan politik tempatan telah membuktikan bahawa apa sahaja slogan, seruan, kalimat dan retorik bersulam Islam yang terikat dan disejajarkan dengan agenda politik kepartian akan berkubur apabila parti-parti politik yang menggunakannya sebagai umpan dan batu loncatan sudah tidak berkuasa lagi.

Saya boleh menegaskan bahawa sebarang percubaan atau eksperimen untuk menundukkan prinsip-prinsip Islam di bawah telunjuk dan hawa nafsu politik (lebih-lebih lagi yang menolak nilai-nilai Syara’ dan membawa agenda kufur dan mungkar) tidak akan berjaya sama sekali.

Gunalah apa dalil atau alasan sekalipun, ia tetap akan gagal.

Saya tidak faham bagaimana pemikiran ahli-ahli politik mahupun organisasi-organisasi seperti ini dengan gampang dan begitu yakin sanggup mempromosikan seruan-seruan yang ditanggalkan dari konteksnya dan dicabut ruh Syari’atnya.

Bagaimanapun saya tidak hairan sekiranya mereka perlu melalui jalur-jalur kuasa politik kepartian untuk mencapai agenda mereka, sama ada secara terang-terangan mahupun menyusup dan menyelinap ke sana ke mari. Ini kerana hanya melalui kuasa sahajalah mereka dapat mengarusperdanakan agenda dan cita-cita politik mereka.

Saya juga tidak terkejut sekiranya mereka senang berkerjasama atau menjalinkan ikatan politik dengan mana-mana pihak atau parti politik (hatta yang membawa agenda kufur dan mungkar sekalipun) sebagai satu strategi atau wasilah mereka. Iklim dan realiti politik di negara ini membenarkannya, meskipun ia bertentangan dengan Syara’.

Ini kerana, seperti yang saya sebut terdahulu, yang memandu tindakan dan keputusan mereka bukan lagi Syara’, tetapi ambisi dan keghairahan untuk mencapai puncak kuasa. Apabila maslahat politik mengatasi segala syarat yang sudah ditetapkan oleh Syariat Islam, maka yang tinggal hanyalah kebebalan, ketaksuban dan sifat ‘aku serba tahu’.

Percubaan untuk menisbahkan keputusan, tindakan dan pendirian ini kepada hujah ‘Ijtihad’, ‘Khilafiyah’ atau ‘Bersetuju untuk berbeza’ sudah tidak terpakai kalau yang mengatur dan menentukan pengoperasiannya bukan lagi nilai Syara’ dan nas/dalil dari al-Quran dan Hadis.

Mereka yang sudah terpahat ikatan kerjasama dan persemendaan politik dengan parti rasis cauvinis ini tidak lagi bebas dalam bertindak, menetapkan pendirian, membantah atau melawan apabila menyentuh kepentingan DAP.

Sekiranya mereka telah mendapat apa-apa manfaat atau menikmati apa-apa faedah dari parti tersebut, mereka akan terhutang budi selama-lamanya. Mereka tidak akan berani mengangkat muka terhadap sebarang keceluparan, keangkuhan dan penghinaan dari parti tersebut terhadap agama dan umat Islam. Bahkan paling teruk sekiranya mereka tidak segan silu berperanan sebagai pembela dan penyelamat kepada DAP.

Mereka tertipu dan terpedaya sekiranya masih beranggapan bahawa kerjasama politik (termasuk perkongsian kuasa) dengan DAP akan membawa kemaslahan kepada Islam dan kepentingan umat. Mereka tidak boleh dipercayai langsung untuk memasyhurkan identiti Islam apatah lagi untuk mendaulatkannya.

Kepada para pencinta dan pemuja perjuangan parti rasis cauvinis seperti DAP (termasuk MCA dan Gerakan) lebih-lebih lagi kepada yang tidak merasa bersalah apabila mempertahankan agenda kufur dan mungkar mereka, ingatlah bahawa umat Islam tidak akan bersetuju atau menerima perjuangan politik kamu semua.

Terdapat satu ayat di dalam al-Quran yang barangkali sesuai dijadikan sebagai renungan di dalam konteks ini:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka akan mendirikan Solat, menunaikan Zakat, menyeru kepada yang Ma’ruf, mencegah dari yang Mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.”

(al-Quran Surah Al Hajj Ayat 41)

Saya ingin akhiri dengan satu pertanyaan kepada para pemuja dan pembela DAP: Sekiranya parti rasis cauvinis DAP dianggap sebagai rakan dan teman dalam perlaksanaan Amar Makruf Nahi Mungkar, adakah pihak yang dimaksudkan di dalam Surah Al Hajj Ayat 41 di atas merujuk kepada DAP?

Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)
Muhammad Luttfi Abdul Khalid.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close