Berita UtamaDunia

Syria pintas serangan peluru berpandu Israel di Hama

Pesawat Israel berada di ketinggian rendah di beberapa kawasan

BEIRUT, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Sistem pertahanan Syria berjaya memintas serangan udara rejim pengganas Israel berhampiran pusat bandar yang menyebabkan letupan dan kebakaran besar di kawasan itu.

Serangan udara itu adalah yang terbaharu dalam rangkaian serangan rejim Zionis di Syria dalam beberapa minggu terakhir, dan terjadi di tengah ketegangan yang meningkat antara Israel dan kumpulan bersenjata Hezbollah di Syria, serta di sepanjang sempadan Lubnan-Israel.

Agensi berita Syria SANA berkata, serangan udara Israel itu berlaku berhampiran bandar Masyaf di kawasan luar bandar Hama.

Menurut The Associated Press, penduduk di kejiranan Lubnan melaporkan mendengar pesawat perang Israel berada di ketinggian rendah di beberapa bahagian negara Mediterranean dalam perjalanan untuk mengebom Syria.

Tidak ada komen segera dari Israel mengenai serangan yang dilaporkan semalam di Syria.

Syria menuduh Israel melakukan sekurang-kurangnya tujuh serangan udara dalam dua bulan terakhir, yang dipercayai menyasarkan Iran dan kepentingan proksi.

Rabu lalu, Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab berkata, Israel mencabuli kedaulatan Lubnan melalui darat, laut dan udara lebih dari 1,000 kali dalam lima bulan terakhir.

Sebelum ini, Israel mengaku melakukan banyak serangan udara selama bertahun-tahun, kebanyakannya ditujukan kepada penghantaran senjata Iran yang dipercayai berkait kepada Hezbollah.

Bulan lalu, serangan udara Israel ke atas kedudukan tentera berhampiran Masyaf mencederakan enam tentera dan memusnahkan beberapa bangunan, lapor SANA.

Kebelakangan ini, para pegawai Israel menyatakan keprihatinannya bahawa Hezbollah cuba mendirikan kemudahan pengeluaran untuk membuat peluru berpandu yang tepat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button