Berita Utama

Taska KEMAS dijangka buka semula 1 Julai

Terdapat 520 taska di seluruh negara libat lebih kurang 9,000 pelajar

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dijangka dibuka semula 1 Julai ini, namun jabatan itu masih menunggu keputusan muktamad daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Yasid Bidin berkata terdapat sebanyak 520 Taska KEMAS di seluruh Malaysia melibatkan lebih kurang 9,000 tenaga kerja dan pelajar.

Beliau berkata pembukaan taska-taska ini bertujuan memudahkan ibu bapa yang ingin meninggalkan anak-anak ketika bekerja, bagaimanapun ibu bapa yang masih ragu-ragu tidak perlu menghantar anak-anak mereka.

“Kita memberi kemudahan kepada ibu bapa yang memerlukan tempat jagaan anak-anak supaya mereka dapat tinggalkan anak mereka dengan tenang.

“Jika taska itu dibuka dan tiada orang yang datang, atau hanya dua atau tiga sahaja yang hantar, tidak mengapa kita tetap buka kerana kita cuma bersedia jika ada yang ingin hantar,” katanya selepas pelancaran Projek Menjahit PPE MERCY Malaysia berkolaborasi dengan KEMAS dan Yayasan Maybank di sini hari ini.

Mengulas prosedur operasi standard (SOP) dalam menghantar anak-anak ke taska, Mohd Yasid berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak dan mereka sendiri berada dalam kedaan yang sihat dan cergas sebelum menghantar anak masing-masing.

“Sebelum kanak-kanak ini berada di taska pastikan mereka dalam keadaan yang sihat, dan diharapkan ibu bapa mengambil bacaan suhu mereka sebelum berada di taska,” katanya.

Guru-guru taska juga akan mangambil bacaan suhu pelajar-pelajar dan ibu bapa tidak dibenarkan memasuki di dalam premis taska apabila menghantar anak mereka, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close