Berita Utama

Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat, cedera rusuhan di AS

Rakyat kita dilaporkan selamat serta jauh daripada bahaya

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Wisma Putra hari ini mengesahkan tiada laporan atau pemberitahuan rasmi diterima atas pembabitan atau rakyat Malaysia yang tercedera dalam siri rusuhan ganas di lebih 70 bandar di seluruh Amerika Syarikat (AS), berikutan kematian George Floyd pada 25 Mei.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata secara amnya, rakyat Malaysia dilaporkan selamat dan jauh daripada bahaya dan disarankan untuk terus mematuhi arahan keselamatan, termasuk perintah berkurung yang dikenakan pihak berkuasa tempatan AS dan berwaspada dalam memastikan keselamatan mereka.

“Perwakilan Malaysia di Washington D.C, New York dan Los Angeles memantau situasi ini dan sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan perkembangan terkini di lapangan.

“Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular disarankan untuk menghubungi Perwakilan Malaysia di lokasi di atas dan terus tenang dengan sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui berita tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai rusuhan di AS, beliau berkata sebarang pendekatan yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kehilangan harta benda serta perniagaan pasti tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

“Selain itu tidak mematuhi norma baharu dalam jarakan sosial dan perhimpunan besar sangat membimbangkan, terutama ketika dunia memfokuskan usaha untuk memerangi penularan pandemik COVID-19.

“Malaysia berharap krisis rusuhan ini akan ditangani dengan cekap dalam cara yang aman dan mendesak semua pihak menggunakan pendekatan dialog untuk mencari penyelesaian yang berkekalan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button