Berita Utama

100 ‘lorong tikus’ dikawal ketat halang PATI masuk negara

Beberapa tekong, PATI cuba dibawa keluar sudah ditahan

PARIT BUNTAR, 14 Syawal 1441H, Sabtu – Sebanyak 100 ‘lorong tikus’ di sepanjang perairan pantai barat dikawal ketat oleh pasukan keselamatan bagi mengelak pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada memasuki negara ini, kata Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Mastor Mohd Ariff.

Beliau berkata, langkah menempatkan anggota keselamatan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Op Benteng di laluan itu perlu bagi memastikan tiada kemasukan PATI yang dikhuatiri membawa kepada penularan wabak COVID-19.

“Kita mendapat kerjasama antara agensi yang berjalan dengan baik dan ia mampu menghalang kemasukan pendatang asing ke negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja sempena Op Benteng dari Kampung Acheh, Sitiawan ke Kuala Kurau di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah menahan beberapa tekong dan PATI yang cuba dibawa keluar dari negara ini dan kesemua mereka menjalani ujian swab COVID-19.

“Setakat ini, belum ada yang positif,” katanya.

Mengenai sindiket penyeludupan barangan antaranya rokok, Mastor berkata kerjasama daripada anggota Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PGA dan APMM dapat menghalang kegiatan penyeludupan dengan mudah.

“Operasi masih berjalan seperti biasa dan ini berjaya membendung penyeludupan barangan dan juga manusia,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close