Dunia

Jordan longgar sekatan, buka semula sektor ekonomi

Penerbangan antarabangsa, sekolah, kolej belum operasi

AMMAN, 14 Syawal 1441H, Sabtu – Kerajaan Jordan mengambil langkah meneruskan kembali kegiatan ekonomi dan melonggarkan sekatan pergerakan setelah beberapa bulan dikuatkuasakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Bermula hari ini, aktiviti perniagaan, termasuk kafe dan restoran membenarkan pelanggan makan di premis, sementara larangan perjalanan antara bandar juga ditarik balik.

Rakyat negara itu juga dibenarkan menggunakan kenderaan mereka setiap hari antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, tanpa perlu mendapatkan kebenaran khas, manakala penerbangan domestik juga dibenarkan beroperasi semula.

Pihak berkuasa juga membenarkan solat berjemaah di masjid dan membuka kembali gereja di negara itu, dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan dengan menjaga penjarakan sosial serta memakai penutup hidung dan mulut.

Setakat ini, penerbangan antarabangsa, sekolah, kolej, tadika, taman awam, pusat teater dan kegiatan festival masih belum dibuka.

Jordan merekodkan 784 kes COVID-19, termasuk 571 kes pulih sepenuhnya dan sembilan kematian – yang diklasifikasikan sebagai risiko sederhana.

Bagaimanapun, negara itu tetap mengambil langkah perintah darurat, dengan menutup ruang udara dan rentas sempadan darat bagi semua penumpang komersial dalam usaha memerangi wabak itu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button