Berita Utama

Import pakar asing seolah tak iktiraf tokoh tempatan

Dalam DAP pun ada pakar perancang bandar, kenapa ambil khidmat luar?

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak perlu melenting dengan pihak yang mempertikai keputusan kementeriannya membawa masuk pakar dari Singapura berhubung isu perumahan.

Sebaliknya, pemimpin DAP itu harus sabar dan bertenang dan menganggap semua itu sebagai kritikan membina, kata Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim.

Beliau mempersoal sama ada Kor Ming terlupa atau terlepas pandang – kerana dalam DAP ada seorang ahli yang pakar dalam perancang bandar atau ‘town planning iaitu Prof Dr Tajuddin Rasdi.

“Beliau seorang arkitek yang sangat berpengalaman, baik dalam bidang akademik mahupun industri perumahan dan telah membuat kajian dan menerbitkan banyak buku mengenai isu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahdzir pelik mengapa Kor Ming tidak menggunakan khidmat Prof Tajuddin yang juga ahli DAP dan pakar dalam bidangnya.

“Adakah kerana dia tidak cukup ‘DAP’ seperti Kor Ming,” soalnya lagi.

Katanya, keputusan Kor Ming membawa masuk pakar asing secara tidak langsung seolah-olah tidak yakin dan tidak mengiktiraf pakar serta agensi tempatan.

“Hakikatnya, Malaysia mempunyai banyak agensi yang mempunyai pengalaman dalam mengurus masalah perumahan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (Prima), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Uda Holdings Berhad, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

“Selain agensi yang ada, kita juga mempunyai agensi yang boleh membantu mengurus isu perumahan ini dari dasarnya seperti Khazanah Research Institute (KRI).

“Agensi ini adalah sebuah pusat kajian untuk ekonomi dan pembangunan yang sudah membuat dan menerbitkan banyak hasil kajian dan teruji dalam bidang pembangunan ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Justeru katanya, agensi seperti KRI sewajarnya digunakan untuk membantu kementerian dan agensi sedia ada dalam mengurus dan menambah baik masalah berkenaan.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2023/01/28/kor-ming-dakwa-pihak-kritik-idea-bawa-masuk-pakar-singapura-hipokrit/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button