Berita Utama

‘Pekerja asing terlalu ramai, rakyat sukar isi peluang pekerjaan’

Rakyat bekerja ada pendapatan, bantu rancakkan ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 14 Syawal 1441H, Sabtu – Penubuhan Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional yang diperkenalkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) perlu memfokus kepada isu untuk meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, kerajaan perlu melaksanakan pengurangan pekerja asing secara berperingkat dan kekosongan itu perlu diisi oleh rakyat negara ini.

“Ketika ini, terlalu ramai bilangan pekerja asing di negara kita sekali gus menyebabkan rakyat kita sendiri sukar untuk mengisi peluang pekerjaan… dan apabila pekerja asing ini dihantar pulang, kita juga perlu memastikan agar mereka tidak akan kembali semula.

“Kita lihat fokus dan penumpuan kerajaan adalah kepada isu berkaitan peluang pekerjaan. Ini kerana jika rakyat mempunyai pekerjaan, mereka juga dapat menjana pendapatan seterusnya merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya dalam program Ruang Bicara ‘Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia dengan wakil daripada sektor swasta serta sektor awam yang berkaitan,

Ia ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan beberapa inisiatif dalam menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat serta memastikan pengekalan pekerjaan akibat penguncupan ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun ini berikutan usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Pada masa sama, beliau berkata generasi muda juga perlu memanfaatkan penggunaan teknologi bagi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi digital.

“Kita perlu ada satu nilai tambah, kemahiran baharu dalam kalangan rakyat sendiri dan di sinilah peranan teknologi. Paling penting, generasi muda perlu membentuk minat dan kemahiran itu sendiri.

”Lagi pun, dalam konteks teknologi, keadaan ini (peluang pekerjaan) yang ditawarkan lebih menarik kerana tidak melibatkan keupayaan fizikal dan kudrat seperti terlibat dalam ‘pekerjaan 3D’ iaitu kotor, bahaya dan sukar namun hanya memerlukan kemahiran dalam teknologi,” katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, PENJANA, yang bersandarkan kepada tiga teras utama iaitu Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi, dilihat dapat membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

“Secara keseluruhannya, 40 inisiatif yang bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA memberi impak positif sama ada secara serta-merta, jangka pendek dan jangka panjang kepada negara. Ia satu perkembangan yang baik.

“Sebagai contoh, dari segi Memperkasakan Rakyat, kebanyakan inisiatifnya adalah memastikan rakyat sentiasa bekerja kerana kita tahu kadar pengangguran bakal meningkat. Ini dapat dilihat menerusi pelanjutan Program Subsidi Upah selain inisiatif Program Insentif Pengambilan Pekerja yang menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button