Berita Utama

Perlu ada kaedah tambahan bantu golongan hilang pekerjaan

Individu hilang kerja perlu cari peluang baharu, berniaga dari rumah

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 14 Syawal 1441H, Sabtu – Kerajaan Malaysia disaran untuk mewujudkan lagi kaedah bantuan bagi kumpulan yang kehilangan pekerjaan, berikutan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) hanya diperuntukkan selama tiga bulan.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, tiga bulan bukanlah tempoh yang panjang bagi golongan itu untuk mengubah corak hidup atau mendapatkan pekerjaan baharu.

“Ini kerana majikan juga berada dalam keadaan tenat dan perlu mencari haluan baharu yang memakan masa mungkin sekurang-kurangnya 6 hingga 9 bulan.

“2020 ini adalah tahun mencabar. Jadi, perniagaan akan terus merudum. Hanya pada tahun 2021 kita boleh harapkan perniagaan dan syarikat berupaya untuk mengubah arah dan menunjukkan prestasi positif,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan kumpulan penganggur dan mereka yang diberhentikan kerja untuk menggunakan tempoh 3 bulan ini sebagai satu ruang bagi mengubah arah hidup.

Ini kerana, mereka tidak boleh mengharapkan norma lama untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

“Mereka perlu fikir bahawa ini adalah tempoh perubahan dan mereka perlu berubah dengan segera mencari peluang baharu, yakni peluang bekerja sendiri.

“Mereka boleh menjadi peniaga dari rumah selain mencari peluang yang ada di sekitar mereka.

“Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan berasal dari kampung, mungkin ini masa yang terbaik bagi mereka untuk kembali ke desa, kerana lebih banyak peluang pendapatan yang wujud di desa, malah kos hidup lebih rendah selain boleh berjimat dari segi kewangan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PENJANA bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’, merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

PENJANA memberi tumpuan kepada memperkasa rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi dengan RM10 bilion adalah suntikan fiskal langsung.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close