Berita Utama

Syor insentif tambang murah untuk guru pulang ke Sabah, Sarawak

Pihak sekolah perlu beri kelonggaran, utamakan guru dalam kawasan

BANGI, 14 Syawal 1441H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mencadangkan supaya insentif tambang murah diberikan kepada guru di Semenanjung yang diarahkan pulang ke Sabah dan Sarawak bagi memulakan tugas. 

Cadangan itu susulan mengambil maklum berkaitan arahan kepada guru-guru supaya kembali bertugas ke tempat asal bertarikh 4 Jun lalu. 

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, arahan itu memberikan sedikit masalah kepada guru-guru yang berada di Semenanjung untuk merancang pulang bertugas di Sabah dan Sarawak, terutama bagi yang berkeluarga.

“Ini kerana ia terkait dengan jadual penerbangan, tempoh kuarantin dan jarak serta perjalanan ke tempat bertugas terutama yang bertugas di kawasan luar bandar dan pendalaman.

“Justeru, bagi mengatasi hal tersebut, iGuru mencadangkan pihak pentadbir menggunakan budi bicara dan ambil maklum hal guru-guru tersebut dengan diberikan sedikit kelonggaran pulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, pihak sekolah disaran untuk mengutamakan guru yang sedia ada di dalam kawasan bertugas dahulu berbanding yang berada di luar kawasan, apatah lagi di Semenanjung. 

“Utamakan guru-guru yang mengajar Tingkatan 5 dan 6 sebelum guru-guru daripada tingkatan lain. 

“Ia boleh dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kesesuaian masa,” katanya. 

Ustaz Mohd Azizee turut mencadangkan supaya penerbangan pulang guru ke Sarawak dipermudahkan dengan menawarkan harga penerbangan murah dan berpatutan kepada yang berkeluarga menerusi pakej diskaun atau pembiayaan kerajaan. 

“Selain itu, menambahkan jadual penerbangan dari dua kali seminggu kepada empat kali seminggu untuk tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu guru di Semenanjung ke Borneo atau guru Borneo ke Semenanjung.

“iGuru berharap keprihatinan pihak yang berkaitan dapat membantu untuk menangani masalah tersebut agar guru-guru dapat kembali bertugas ke tempat kerja masing-masing dengan selamat dan tiada beban kos kewangan yang tinggi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close