Berita UtamaIstimewa

Tun M jangan ganggu demokrasi

Bekas PM emosi tak bertempat, keluar pandangan mengelirukan

BANGI, 14 Syawal 1441H, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin rasa terasing dan cuma mahukan perhatian memandangkan beliau kini bukan lagi perdana menteri dan juga ketua pembangkang, apatah lagi telah dipecat sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, tindakan Dr Mahathir kebelakangan ini mungkin kerana cuma mahukan perhatian memandangkan beliau sudah terbiasa mendapat perhatian dunia. 

Bersesuaian dengan naluri seorang yang telah berusia, beliau berkata, Dr Mahathir juga dilihat emosi tidak bertempat, selain ada mengeluarkan pandangan luar konteks yang bercanggah dan mengelirukan. 

“Semalam Tun M membuat kenyataan bahawa PRU tidak sesuai diadakan sekarang kerana negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 dan masalah kemelesetan ekonomi yang amat serius. 

“Tapi yang menghairankan, Tun M juga yang beria-ia ingin menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mengatakan beliau telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Muhammad Lukman mempersoalkan apakah tindakan itu semata-mata mahu menyaingi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga terserlah sedang bekerja keras mendapatkan posisi paling berpengaruh di Malaysia. 

“Sesiapa yang mengikuti perkembangan politik negara sejak zaman Reformasi 1998 dulu pasti sangat maklum tentang pergeseran peribadi di antara dua tokoh yang telah menelan masa dua dekad ini. 

“Tambahan pula Anwar yang kini sebagai ketua pembangkang di Parlimen dilihat semakin intim dengan para pimpinan parti komponen PH yang lain. Tun M mungkin terasa terasing,” katanya. 

Serentak itu, beliau mencadangkan supaya Dr Mahathir memberikan ruang seluas-luasnya untuk sistem demokrasi Malaysia berjalan dengan baik dan berkembang matang tanpa campur tangan daripadanya. 

Beliau menegaskan bahawa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menunjukkan prestasi cemerlang, sedangkan Pakatan Harapan (PH) pula berpecah, lemah dan menuju kehancuran. 

“Tolonglah Tun, jangan beri nyawa kepada PH. Jangan kerana nyawa Tun pun kita tidak tahu sampai bila Allah SWT beri masa untuk terus berdenyut. 

“Sekarang ialah masa untuk membaiki, bukan untuk merosakkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close