WHO nasihat pakai penutup hidung dan mulut di tempat awam
Antara langkah boleh kurang penularan pandemik coronavirus

GENEVA, 14 Syawal 1441H, Sabtu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengubah nasihatnya berkaitan penggunaan penutup hidung dan mulut, dengan mewajibkan pemakaiannya di khalayak ramai untuk membantu menghentikan penularan pandemik COVID-19.
WHO berkata, maklumat baharu menunjukkan bahawa penggunaan penutup hidung dan mulut dapat menghalang daripada titisan cecair badan yang berpotensi menular.
Beberapa negara di seluruh dunia telah mengesyorkan dan mewajibkan pemakaian penutup hidung dan mulut di khalayak ramai.
WHO sebelum ini berpendapat tiada bukti saintifik untuk mewajibkan individu yang sihat supaya memakai penutup hidung dan mulut.
Badan antarabangsa itu selalu mengingatkan bahawa penutup hidung dan mulut perubatan harus dipakai oleh individu sakit atau mereka yang merawatnya.
Menerusi panduan baharu, WHO menasihatkan semua negara supaya menggalakkan rakyat mereka memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam.
WHO turut menekankan bahawa pemakaian penutup hidung dan mulut adalah salah satu langkah untuk mengurangkan risiko penularan coronavirus.- Agensi