Berita Utama

Bubar Dong Zong jika mereka ikhlas mahukan keharmonian

Mansuh vernakular, bangun bersama sistem pendidikan satu aliran

BANGI, 14 Syawal 1441H, Ahad – Penganjuran kempen menangani rasisme yang dijalankan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) penuh dengan hipokrasi yang mahukan perhatian dan simpati.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, rakyat tidak pernah lupa bahawa Dong Zong merupakan pihak yang mewujudkan dan mempertahankan sistem sekolah vernakular dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Walhal, semua maklum bahawa UEC adalah sistem yang telah menjadi barah kepada perpaduan negara, tegasnya.

“Dengan ‘kuasa’ dan ‘pengaruh’ yang mereka ada, agenda-agenda subversif mereka ini didokong kuat oleh parti-parti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan sehinggakan mengiktiraf sistem UEC menjadi manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin berkata, rakyat tidak lupa bahawa penganjuran perhimpunan bekas-bekas anggota komunis yang diadakan pada tahun lalu telah dianjurkan dalam premis milik Dong Zong di Kajang, iaitu Kolej New Era.

Bahkan, katanya, rakyat juga tidak lupa bahawa Dong Zong telah menghasut masyarakat Cina dan sebahagian kecil masyarakat India untuk membenci tulisan Jawi dengan pelbagai tuduhan Islamofobik dan tidak masuk akal. 

“Hasutan tersebut sangat berhasil sehingga sekolah-sekolah vernakular seluruh negara telah bangkit dan menggantung kain rentang dengan mesej-mesej anti-Jawi yang sangat mencabar kesabaran kita. 

“Dong Zong jugalah yang ingin menganjurkan himpunan anti-Jawi secara besar-besaran yang menghimpunkan persatuan-persatuan cina seluruh negara, tetapi akhirnya dihalang oleh polis,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, rakyat tidak lupa bagaimana Dong Zong sangat berkuasa mengasak Kementerian Pendidikan ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan itu sehingga pelbagai tuntutan mereka dipenuhi dan berjaya mengakibatkan seorang Menteri Pendidikan letak jawatan. 

“Paling penting, kita tidak lupa bahawa pengasas Dong Zong iaitu Lian Geok pernah dilucutkan kerakyatan Malaysia kerana ‘terlalu rasis’. 

“Antaranya, beliau kuat menghasut rakyat membenci Yang di-Pertuan Agong dan menghasut masyarakat Cina menolak sistem pendidikan negara melalui penentangan terhadap Penyata Barnes, Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib,” katanya.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, sejak dari awal penubuhan Dong Zong sehingga sekarang, sudah terbukti bahawa ia ternyata memecahbelahkan masyarakat.

Pun begitu, katanya, jika benar individu-individu di dalam Dong Zong ikhlas mahukan keharmonian, maka sistem pendidikan vernakular perlu dimansuhkan dan bangunkan bersama-sama sistem pendidikan satu aliran. 

“Kemudian, bubarkanlah Dong Zong yang penuh dengan noda-noda dan kekotoran rasisme dan kebencian itu dan tinggalkan perjuangan pendidikan vernakular. 

“Banyak lagi NGO Cina yang jauh lebih moderat, sederhana dan benar-benar ikhlas berkhidmat untuk masyarakat yang anda boleh pilih untuk menabur bakti,” katanya.

Sementara itu, kepada pihak kerajaan pula, beliau berharap agar petisyen rakyat menuntut Dong Zong diharamkan yang telah dihantar dalam bentuk memorandum kepada pihak kerajaan ketika zaman PH diambil tindkan oleh kerajaan Perikatan Nasional kini.

“Ingat, kami tetap akan berjuang sehingga sekolah vernakular dimansuhkan, tidak kira siapa pun menjadi kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Dong Zong melancarkan kempen media sosial ‘Menyalur Kasih Sayang Menjelang Wabak COVID-19’, kononnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepelbagaian serta masalah rasisme dan xenofobia. 

Pertubuhan radikal Cina itu mendakwa, sejak penularan COVID-19, ketakutan terhadap wabak ini telah membawa kepada kebencian dan diskriminasi terhadap kumpulan masyarakat tertentu, terutama pekerja migran dan juga pelarian di seluruh dunia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button