Berita Utama

Kak Nah contoh teladan terbaik Melayu tidak malas

Gigih berniaga selama 35 tahun tanpa lesen demi mencari rezeki

BANGI, 15 Syawal 1441H, Ahad – Penantian penjaja selama 35 tahun untuk mendapatkan lesen perniagaan membuktikan bahawa bangsa Melayu bukan pemalas.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau tersentuh dengan kisah Minah Awang atau Kak Nah yang gigih meniaga mencari rezeki buat keluarga.

“Tun Mahathir banyak kali kata: “Melayu malas, sebab itu tak maju-maju,” yang sangat mengguris hati saya.

“Tapi Kak Nah ini berjaga lewat malam untuk memasak, selepas Subuh pula beliau pandu sendiri untuk menjual makanan sampai tengah hari. Kak Nah adalah contoh terbaik untuk kita semua.

“Malangnya, Kak Nah tidak dapat lesen walaupun sudah memohon kepada lima Datuk Bandar. Hanya baru-baru ini sahaja akhirnya dapat apabila mendapat perhatian menteri,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Minah yang menunggu selama 35 tahun untuk berniaga secara sah berakhir apabila menerima lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengambil keputusan untuk menyerahkan sendiri Lesen Penjaja Beredar itu kepada Minah di lokasi dia berniaga di Bukit Damansara, di sini.

Terkejut dengan perkhabaran gembira itu, Che Nah sujud syukur selepas penantian 35 tahun menjadi kenyataan.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menafikan bangsa Melayu adalah pemalas, sebaliknya memerlukan bantuan dari kerajaan.

“Kepada anak-anak bangsaku, teruskan berusaha bersungguh-sungguh untuk menaik taraf kehidupan masing-masing. Kalau boleh, berniagalah.

“Teruskan saling bantu antara satu sama yang lain, kerana itulah yang dituntut oleh agama kita. Insya-Allah, akan kita berjaya sama-sama walaupun jalannya panjang dan penuh berliku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close