Berita Utama

Maaf Kit Siang, tak perlu bawa PENJANA ke Parlimen

Penjawat awam lebih dipercayai berbanding ahli politik

BANGI, 15 Syawal 1441H, Ahad – Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan membidas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membentangkan pakej rangsangan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Parlimen.

Prof Azmi berkata, beliau lebih memilih jika pakej rangsangan yang dipercayai bakal memanfaatkan rakyat keseluruhannya itu, tidak dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Sejujurnya pak cik, saya lebih suka jika PENJANA tidak dibawa ke Parlimen.

“Sebabnya saya lebih mempercayai penjawat awam berbanding dengan ahli politik kita untuk membangun, melaksanakan dan menilai program Penjana. Harap maaf,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook, hari ini.

Semalam, penasihat veteran parti tamak haloba DAP, Kit Siang mendakwa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi bertindak mengunci Parlimen dengan tidak membentangkan pakej rangsangan ekonomi yang dinamakan PENJANA bagi menghadapi kesan wabak COVID-19 itu di Parlimen.

Kit Siang berkata, ia sepatutnya dibuat di Parlimen supaya pakej rangsangan tersebut boleh diteliti, dibahas dan diluluskan.

Beliau mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyifatkan PENJANA sebagai pakej pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang ‘dipenuhi pelbagai tawaran menarik kepada komuniti perniagaan, tetapi gagal memenuhi janji-janji bagi melindungi pekerja’.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon mendakwa, sebagai mana PRIHATIN, beliau bimbang PENJANA juga akan gagal mengotakan pelbagai janji manisnya bagi memastikan golongan pekerja dilindungi terutama di saat ribuan orang kini kehilangan pekerjaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button