Berita Utama

PKPB belum boleh ditamatkan

SOP sedia ada perlu dikuat kuasa bersesuaian sektor ekonomi

BANGI, 15 Syawal 1441H, Ahad – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) belum boleh dihentikan. 

Katanya, ia kerana negara pada ketika ini masih belum berjaya dalam memerangi pandemik COVID-19. 

Pun begitu, beliau berkata, jumlah sektor ekonomi yang diberi kelonggaran untuk kembali beroperasi harus ditambah. 

“Langkah ini perlu diambil kerana kita tidak mahu kelembapan ekonomi berpanjangan dan sekurang-kurangnya dapat dipulihkan sedikit demi sedikit. 

“Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada boleh terus dikuat kuasa dan disesuaikan mengikut sektor ekonomi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya PKPB ditamatkan, kerajaan tidak lagi boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar arahan kerana akta yang diguna pakai kini iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) telah terbatal.

Jam 3 petang hari ini menjadi waktu penting yang ditunggu-tunggu rakyat berikutan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas mengenai PKP.

Perutusan khas itu dijangka bakal menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat sama ada PKPB akan disambung lagi untuk tempoh dua minggu dengan syarat yang lebih longgar atau ditamatkan.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut mengambil kesempatan memberikan pujian kepada seluruh rakyat Malaysia yang kekal bersatu hati mematuhi setiap arahan pihak kerajaan dari hari pertama PKP dilaksanakan sehingga kini. 

“Hasilnya, tiada lagi jumlah kes yang tinggi direkodkan dalam kalangan warga tempatan. Kita semakin hampir ke garisan penamat dalam memerangi COVID-19. 

“Terus mengamalkan norma baharu seperti sentiasa memakai penutup hidung dan mulut, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitiser dan sentiasa menjaga penjarakan sosial. Kita mesti menang!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button