Puluhan penunjuk perasaan cedera bertempur di Lubnan
Perhimpunan bertukar ganas paksa pasukan keselamatan bertindak

BEIRUT, 15 Syawal 1441H, Ahad – Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan memenuhi dataran utama di pusat bandar Beirut bagi menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap langkah pembaharuan yang perlahan di negara itu.
Demonstrasi aman – yang terbesar dalam tiga bulan setelah negara reda daripada perintah berkurung bagi membendung penularan COVID-19 – bertukar menjadi keganasan selepas berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Pasukan Palang Merah Lubnan memaklumkan seramai 37 penunjuk perasaan cedera, di mana 11 daripadanya dibawa ke hospital untuk rawatan.
Demontrasi telah berlaku di Lubnan sejak Oktober, ketika lebih sejuta rakyat turun ke jalan untuk menuntut solusi terhadap masalah ekonomi, rasuah dan kejatuhan pemimpin politik akibat perang saudara.
“Kita berehat sekejap ketika coronavirus (perintah berkurung), dan kembali semula sekarang,” kata salah seorang peserta, Mario Sawaya, 65.
Tunjuk perasaan pada Sabtu menyaksikan lebih ramai rakyat yang berhimpun.
Sebilangan besar kumpulan penunjuk perasaan memfokuskan pada pembaharuan segera – seperti undang-undang pilihan raya dan kebebasan badan kehakiman negara. – Agensi