Berita Utama

Salah guna wang parti, SPRM rampas RM600,000 daripada ahli

Turut rampas kereta dipercayai dibeli guna wang dana parti

KUALA LUMPUR, 15 Syawal 1441H, Ahad – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan merampas RM600,00 daripada dua ahli sayap pemuda parti politik, dipercayai wang parti yang disalah guna.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, pada awalnya kedua-dua suspek dipanggil untuk diambil keterangan berhubung siasatan kehilangan wang bekas seorang menteri.

“Kedua-duanya dipanggil untuk dirakam keterangan, kelmarin dan susulan daripada itu, pegawai kita kemudian ke kediaman mereka di dua lokasi berasingan di ibu negara.

“Menerusi pemeriksaan yang dijalankan, kita menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah RM600,000 di dua kediaman berkenaan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Pada masa sama, Norazlan berkata, sebuah kereta dianggarkan bernilai RM100,000 milik seorang ahli parti terbabit turut dirampas SPRM.

Kereta itu dipercayai dibeli menggunakan dana yang disalah guna.

“Ketiga-tiga mereka dipanggil untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan dan buat masa ini mereka tidak ditahan.

Beliau berkata, dua pemimpin sayap pemuda parti politik itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan berlaku penyelewengan membabitkan wang parti.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM dipercayai meminta seorang bekas menteri untuk mengisytiharkan aset dan harta bagi membantu siasatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button