Berita UtamaDunia

Umat Islam di Nigeria dibenar solat Jumaat

Sekolah, lapangan terbang masih lagi ditutup

ABUJA, 15 Syawal 1441H, Ahad – Buat pertama kali selepas 10 minggu dikenakan perintah berkurung, umat Islam di ibu negara Nigeria, Abuja kembali menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.

Kebenaran itu diberikan setelah pemerintah mengurangkan beberapa sekatan yang diperintah untuk mengekang penyebaran COVID-19.  

Bagaimanapun, suhu badan jemaah perlu diambil untuk mengelakkan mereka yang demam hadir ke masjid.

Selain itu, prosedur kebersihan yang ketat juga perlu dipatuhi oleh setiap jemaah sebelum pergi ke masjid.  

Sementara itu, semua sekolah di ibu kota itu tetap ditutup selama lebih dari 10 minggu sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan COVID-19. 

Pasar raya juga ditutup kecuali dua hari dalam seminggu bagi membolehkan orang ramai membeli makanan dan bekalan lain.

Lapangan terbang Nigeria juga ditutup sementara semua penerbangan domestik dan antarabangsa ditangguhkan. 

Begitu juga dengan kaedah pengangkutan lain seperti kereta api.  

Nigeria telah mencatatkan lebih dari 11,500 kes COVID-19 yang disahkan, dan lebih daripada 300 orang setakat ini meninggal dunia akibat penyakit ini.

Dengan pelonggaran sekatan ini secara beransur-ansur, aktiviti normal dijangka mulai meningkat di banyak bandar Nigeria. 

Tetapi para pakar masih mengatakan bahawa akan ada masa-masa sukar bagi ekonomi Nigeria terutama dengan kejatuhan harga minyak mentah global. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button