Berita UtamaPendapat

Anak muda terbabit rasuah?

Kesalahan rasuah boleh gugur kelayakan sebagai pemimpin negara

1. APABILA SPRM mengumumkan rampasan sejumlah RM600,000 beserta sebuah kereta dari rumah ahli Sayap Pemuda Parti Bersatu (ARMADA), ia adalah petanda yang membimbangkan. Andai dahulu, kita didedahkan dengan rampasan jutaan ringgit di kediaman pemimpin negara, kini penyakit rasuah ini boleh merayap menjangkiti anak muda.

2. Dalam Islam, Rasulullah melaknat mereka yang terlibat dengan rasuah. Perkara ini direkodkan dalam hadis yang menyebutkan:

«لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي»

“Sesungguhnya Rasulullah melaknat mereka yang memberi dan menerima rasuah.”

3. Perhatikan hadis ini bagaimana Rasulullah bersikap sangat tegas dalam perkara yang melibatkan rasuah. Perkataan yang digunakan dalam hadis ini adalah “laknat” yang menggambarkan mereka yang terlibat dengannya berupaya terjebak kepada dosa-dosa besar.

4. Dengan sebab itu al-Imam al-Shawkani menyatakan bahawa pelaku atau penerima rasuah ini boleh dikategorikan sebagai fasiq kerana amaran yang diberikan oleh Rasulullah itu sangat berat. Kata al-Shawkani:

وَتَحْرُمُ رِشْوَةُ الْحَاكِمِ إجْمَاعًا قَالَ الْإِمَامُ يَحْيَى: وَيُفْسُقُ لِلْوَعِيدِ

“Dan (hukum) rasuah kepada pemerintah adalah haram secara ijmak. Menurut al-Imam Yahya: mereka boleh dikategorkan sebagai fasiq kerana amaran yang berat ini.” (al-Shawkani, Nayl al-Awtar)

5. Malah al-Imam al-Zahabi meletakkannya dalam kategori dosa besar. Ini kerana kezaliman rasuah melibatkan penganiyaan bukan sekadar diri sendiri bahkan terpalit kepada orang lain.

6. Jangan sampai anak-anak muda ini disabitkan bersalah kerana terlibat dengan rasuah. Kesalahan rasuah boleh menggugurkan kelayakan mereka sebagai pemimpin negara. Ini kerana sifat fasiq dan pelaku dosa besar mencacatkan kelayakan sebagai seorang pemimpin yang amanah dan adil dalam Islam.

Jadi, bagaimana anak muda yang terlibat dengan kesalahan yang disifatkan sebagai fasiq dan dosa besar ini boleh diangkat menjadi pemimpin negara kelak?

7. Anak muda adalah permata harapan ummah. Mereka adalah lambang masa depan kepimpinan negara. Keterlibatan dalam aktiviti yang melibatkan rasuah mestilah dihapuskan segera. Ini bagi membendung kerosakan yang meruntuhkan negara.

Semoga Allah membimbing kita.

Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close