Berita Utama

Lantik Azhar, Azalina langkah tempang MN selepas Tg Piai

UMNO, PAS seolah-olah buta, hilangkan keyakinan majoriti rakyat

BANGI, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Permulaan sesi Parlimen kelihatan ‘tempang’ susulan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said. 

Pemerhati politik, Ibrahim Hassan al-Hafiz berkata, pelantikan dua individu terbabit dilihat tidak melambangkan agenda Muafakat Nasional (MN) seperti yang dilaung-laungkan oleh UMNO dan PAS sebelum ini.

Katanya, pemimpin PAS dan UMNO seolah-olah buta dengan pelantikan itu, meskipun telah diberi peringatan bahawa Azhar dan Azalina tiada wibawa sebagai seorang pemimpin yang mahu memartabatkan agenda Melayu dan Islam. 

“Ini adalah kali kedua langkah tempang Muafakat Nasional selepas mereka mencalonkan wakil Cina MCA di kawasan majoriti Melayu sewaktu PRK Tanjung Piai. 

“Tindakan ini akan mengikis keyakinan majoriti rakyat Melayu muslim yang mula mempertikaikan keikhlasan PN dalam memperjuangkan agenda Melayu Islam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini. 

Ibrahim berkata, pemimpin PAS dan UMNO sepatutnya menegur dan mengambil langkah memperbetulkan, termasuk menghalang daripada ‘ketempangan’ itu berlaku – bukannya mengikut rentak yang salah. 

“Bermuafakat tidak bermaksud membenarkan perkara yang tidak betul. Saya menyeru pemimpin yang cintakan Islam supaya bertindak selaras dengan agenda yang mereka perjuangkan.

“Jangan sampai NGO dan umat Islam mengambil peranan tersebut. Kami akan terus memerhati,” katanya. 

Isnin lalu, Azhar mengangkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sementara, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas Nga Kor Ming meletak jawatan serta-merta pada hari sama, yang turut dicadangkan oleh Muhyiddin. 

Pelantikan dua individu terbabit mendapat bantahan, kerana menyifatkan pendirian mereka tidak cenderung untuk mengangkat agenda Melayu dan Islam. 

Azhar pernah terpalit dengan kontroversi tindakannya mempertahankan penganjuran Pesta Arak Oktoberfest pada 2017 dan organisasi liberal seperti G25 serta Sister in Islam (SIS).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button