Berita UtamaDunia

COVID-19: Dunia rekod lebih 400,000 kematian

Bimbang kemerosotan ekonomi, Eropah buka semula sempadan, perniagaan

PARIS, 16 Syawal 1441H, Isnin – Jumlah kematian akibat wabak COVID-19 di seluruh dunia melepasi 400,000 sehingga semalam.

Selain itu, angka kematian meningkat di Amerika Latin ketika kes jangkitan di Eropah semakin terkawal.

Kira-kira tujuh juta kes global direkodkan sejak wabak pembunuh itu muncul di China akhir tahun lalu, yang memaksa sebahagian besar dunia mengawal pergerakan penduduk dan menutup pintu sempadan, malah mengakibatkan kemerosotan ekonomi.

Bagaimanapun, negara-negara Eropah telah membuka semula sempadan dan perniagaan berikutan kebimbangan akan kemerosotan ekonomi yang lebih teruk, disusuli negara-negara di seluruh Asia dan Afrika kembali ke kehidupan normal secara berperingkat.

Sementara itu, Brazil merekodkan angka korban tertinggi di dunia dengan 36,000 kematian.

Pihak berkuasa Brazil yang menguatkuasakan langkah duduk dirumah telah dikecam Presidennya, Jair Bolsonaro yang turut mengancam untuk meninggalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Angka kematian turut meningkat di Mexico, Peru dan Ecuador, sementara Chile merekodkan lebih 50 peratus jumlah kematian dalam seminggu terakhir.

Menurut AFP, sebanyak 400,581 jumlah kematian direkod di seluruh dunia setakat jam 7 malam waktu dunia.

Amerika Syarikat muncul negara paling teruk terjejas di seluruh dunia, dengan angka 110,037 kematian, diikuti Britain yang merekodkan 40,542 angka korban.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata, jumlah kes jangkitan di negara itu melebihi 100,000 sehingga semalam.

Jangkitan itu meningkat susulan kerajaan bertindak untuk mengurangkan langkah pencegahan, dengan jumlah kes harian melebihi 3,000 untuk hari kedua berturut-turut pada Ahad. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close