Berita Utama

‘Dah boleh melancong, tapi ingat jaga keselamatan’

Fasa benarkan pelancongan domestik, banyak hotel tawar pakej percutian

BANGI, 16 Syawal 1441H, Isnin – Pengumuman kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disambut baik, bukan sahaja oleh rakyat bahkan usahawan tempatan seperti pengendali pelancongan domestik.

Semalam, media melaporkan bilik hotel di Pulau Langkawi, Kedah merekodkan 1,000 tempahan dalam tempoh 45 minit selepas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, lebih mengujakan apabila 700 daripada tempahan berkenaan sudah membuat pembayaran, sekali gus memberi petanda amat positif kepada industri pelancongan Langkawi.

“Malah, tempahan terus mencurah-curah masuk hingga malam tadi membabitkan hotel tiga bintang dan ke atas sekitar Pantai Tengah dan Chenang untuk bercuti minggu hadapan,” katanya.

Mengulas sitausi itu, Penasihat Syarikat Pelancongan Intisar Vacation (ivacation) Mohd Noor Azib Asmangi berkata, keputusan kerajaan membenarkan pelancongan domestik telah memberi peluang kepada kebanyakan hotel, untuk menawarkan pakej percutian dengan potongan harga yang menarik.

Bagaimanapun katanya, rakyat masih perlu menjaga diri sendiri dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dan kebersihan, terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai.

“Semua pihak mesti mengamalkan langkah berjaga-jaga, ikutlah peraturan. Setiap premis yang dibuka pula perlu benar-benar ikuti SOP yang ditetapkan.

“Berikan kerjasama supaya tiada peningkatan wabak COVID-19, sehinggalah vaksin dapat dihasilkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, Mohd Noor Azib berkata, fasa Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula sejak Mac lalu seharusnya menjadikan rakyat semakin peka dan lazim dengan amalan penjarakan sosial dan SOP kebersihan.

“Bagi yang masih tidak berpeluang mengunjungi ayah bonda semasa hari raya tempoh hari disebabkan larangan rentas negeri, gunakan peluang yang ada dengan baik untuk terus rapatkan silaturrahim,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close