Berita Utama

Isu lantikan CEO Petronas, dahsyat propaganda dan fitnah DAP-PH

Penyokong PH meloncat tanpa periksa, kena pukau, kena kencing

BANGI, 16 Syawal 1441H, Isnin – Datuk Seri Najib Razak mengkritik propaganda media didakwa milik parti rasis cauvinis DAP, mengenai pelantikan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu syarikat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

Najib yang kini masih berdepan dengan pertuduhan mahkamah mendakwa, mereka memainkan propaganda bahawa CEO Petronas dilantik kerana beliau Pemuda UMNO dan tidak berkelayakan.

“Tetapi ‘depa’ lupakah? CEO Petronas ini dulu adalah CFO lantikan PH pada Oktober 2018. Penyokong-penyokong DAP-PH pula seolah-olah telan sahaja semua yang mereka baca dan diberitahu DAP-PH.

Strategi DAP-PH ini meracuni minda-minda orang ramai supaya marah dan benci BN dan terus sokong DAP-PH. Bahan-bahan ini disebarkan di Facebook, WhatsApp.

“Penyokong PH pula meloncat tanpa periksa. Inilah dia. Kena pukau. Kena tipu, kena kencing tapi masih percaya dan sokong DAP-PH. Dahsyat propaganda politik dan fitnah DAP-PH. Berhati-hatilah semua. Jangan percaya mereka lagilah. DAP-PH tak baik untuk Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Kenyataan bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada akaun Facebook ‘Tak Nak BN’ yang mempersoalkan pelantikan Muhammad Taufik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu.

Difahamkan, Muhammad Taufik akan menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik sebagai pengerusi baharu syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Tengku Muhammad Taufik adalah Ketua Pegawai Kewangan PETRONAS yang dilantik sejak 2018.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, industri minyak dan gas kini melalui cabaran hebat dengan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merundum.

“Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman dimiliki Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama Pengerusi sedia ada, Datuk Ahmad Nizam Salleh, akan dapat memimpin PETRONAS ke mercu kecemerlangan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button