Berita Utama

Kempen tolak rasisme, Dong Zong rasis konon ambil hati masyarakat

Mereka ambil kesempatan ketika COVID-19, nak tebus imej agresif

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 16 Syawal 1441H, Isnin – Penganjuran kempen menangani rasisme oleh pertubuhan radikal, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) hanya untuk mengambil hati masyarakat Malaysia, yang rata-ratanya mempunyai pandangan negatif terhadap mereka.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sebelum ini perjuangan Dong Zong mempertahankan pendidikan Cina jelas agresif, cauvinis dan kadang kala antinasional.

“Jadi, mereka mahu mengambil kesempatan menerusi COVID-19, dengan meminta masyarakat bersatu-padu memerangi wabak itu, sedangkan imej mereka telah buruk dan dilihat sebagai rasis.

“Oleh itu, mereka juga telah mengadakan kempen sebagai usaha yang baik tangani COVID-19, maksudnya mereka seperti mahu menebus imej mereka yang rasis,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Dong Zong melancarkan kempen media sosial ‘Menyalur Kasih Sayang Menjelang Wabak COVID-19’, kononnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepelbagaian serta masalah rasisme dan xenofobia.

Pertubuhan radikal Cina itu mendakwa, sejak penularan COVID-19, ketakutan terhadap wabak ini telah membawa kepada kebencian dan diskriminasi terhadap kumpulan masyarakat tertentu, terutama pekerja migran dan juga pelarian di seluruh dunia.

Dong Zong antara pertubuhan yang rancak bergerak ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, apabila manifesto parti itu terkandung janji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – antara perkara yang diperjuangkan sejak dahulu.

Sepanjang 22 bulan PH mentadbir, pelbagai usaha digerakkan Dong Zong antaranya menolak pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah vernakular dan meminta kerajaan menambah bilangan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button