Berita Utama

Malaysia catat tujuh kes, kali pertama satu angka direkod

Jumlah kumulatif kes COVID-19 adalah sebanyak 8,329

PUTRAJAYA, 16 Syawal 1441H, Isnin – Malaysia pertama kali mencatatkan satu angka kes COVID-19 apabila hanya tujuh kes baharu dicatatkan pada pengumuman hari ini, iaitu yang terendah pernah dicatatkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 adalah sebanyak 8,329 kes, manakala terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj.

Beliau berkata, ini menjadikan bilangan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,518 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala lima kes penularan di dalam negara pula adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Tambah beliau, tiada kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak berkenaan kekal 117 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menjelaskan mengenai kes positif baharu itu, beliau berkata dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala lima kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

Katanya, daripada lima kes membabitkan warganegara, dua kes ialah kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8294) di Sepang, Selangor.

“Selain itu, melibatkan satu kes saringan tempat kerja daripada Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, satu kes saringan prapembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas dan satu kes saringan komuniti di Kota Kinabalu, Sabah,” jelasnya.

Tambah beliau, sehingga kini, sebanyak enam kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan satu kes daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close