Berita Utama

PEMBELA bidas MAPIM tuduh kerajaan diskriminasi warga asing

Jangan malukan Malaysia yang sedang meniti kejayaan melawan COVID-19

BANGI, 16 Syawal 1441H, Isnin – Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari menempelak tindakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menuduh kerajaan bersikap diskriminasi terhadap warga asing.

“Soalan pertama saya, adakah MAPIM antara NGO yang menuduh Kerajaan Malaysia sebagai diskriminasi kepada warga asing dan PATI? Selain SUHAKAM.

“Saya antara jutaan penonton sidang media oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan bahawa diutamakan jemaah rakyat Malaysia terlebih dahulu dalam membenarkan solat berjemaah di masjid.

“Jelas menunjukan MAPIM sudah menuduh malah menfitnah Kerajaan Malaysia dengan menyatakan kerajaan tidak membenarkan pula. Jika masjid sudah tidak cukup makmum rakyat Malaysia, silakan kepada sesama Islam yang bukan warganegara,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini.

Terdahulu, MAPIM menyifatkan tindakan kerajaan tidak membenarkan warga asing yang negatif COVID-19 untuk menunaikan solat di masjid adalah tidak wajar.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid meminta supaya kerajaan menyemak semula keputusan berkenaan.

Katanya, MAPIM melihat keputusan itu sebagai satu diskriminasi yang tidak wajar dan tuntutan agama tidak boleh dikompromi jika semua syarat sudah dipenuhi.

Membidas lagi, Cikgu Izzat berkata, tindakan kerajaan mengutamakan jemaah Malaysia bukanlah menghalang warga asing malah jauh menyimpang dan secara tidak langsung, MAPIM mencalarkan imej Islam pada pemerintah.

“Nak pertahankan warga asing, sanggup menjatuhkan maruah negara? Itu yang MAPIM inginkan? Oleh demikian, adalah baik MAPIM membantu Kerajaan Malaysia membanteras warga asing yang mungkin 70 peratus daripadanya adalah PATI untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Paling tidak, MAPIM anjurkan kempen ‘Jom Ke Masjid’ supaya menggalakkan lebih ramai jemaah Malaysia datang ke masjid dan mensyukuri nikmat solat berjemaah setelah tiga bulan ‘diambil balik’ oleh Allah.

“Selain itu, saya menasihatkan MAPIM supaya jaga maruah negara. Jangan memalukan Malaysia yang sedang meniti kejayaan melawan wabak COVID-19. Banyak lagi isu lain yang MAPIM boleh ketengahkan,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, kelonggaran syarat mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan keluasan masjid hanya tertakluk kepada warga tempatan sahaja.

Katanya, hal ini kerana isu positif COVID-19 dalam kalangan warga asing lebih tinggi berbanding rakyat tempatan.

“Solat Jumaat dan jemaah dibenarkan ini hanya untuk warganegara kerana isu positif dalam kalangan warga asing lebih tinggi berbanding rakyat tempatan. Kedua, tentu sahaja keutamaan kepada warganegara. Kalau warga asing memenuhi masjid sehingga tiada tempat untuk rakyat kita, tak bolehlah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close