Berita Utama

‘PH jangan rakus rebut kuasa hingga ganggu kestabilan politik’

BERJASA ingatkan elak lantik peneraju GLC dalam kalangan ahli politik

BANGI, 16 Syawal 1441H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya bersabar sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan bertindak matang dengan memberikan Perikatan Nasional (PN) masa untuk memulihkan keadaan ekonomi negara selepas krisis COVID-19.

Pengerusi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, tindakan menjual aset negara ketika zaman kerajaan PH menggambarkan bahawa PH tidak berkemampuan memerintah dan mentadbir sebuah negara

Bidasnya, pendekatan menjual apa yang ada pada saat syarikat bermasalah bukannya mentaliti negarawan tetapi politikus yang bankrap idea dan agenda.

“Oleh itu PH jangan cuba mengganggu kestabilan politik dengan kerakusan kuasa dan ketamakan peribadi.

“BERJASA cukup jelas dengan agenda PH, oleh itu menolak PH bukan kerana dianiaya PH tetapi disebabkan DAP sangat dominan dalam parti itu sendiri. Hakikatnya agenda PH adalah agenda memperkasa agenda DAP itu sendiri,” kata beliau ketika dihubungi Ismaweb.

Mengenai pelantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai Pengerusi Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ustaz Zamani berkata, BERJASA bersetuju setiap perlantikan mestilah berdasarkan kepada kepakaran dan pengalaman serta mampu mengembalikan kegemilangan MAS di masa hadapan.

“Bukannya ambil jalan mudah dengan hanya menjual aset negara. Sementara dalam lantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tidak dinafikan bahawa kerajaan begitu serius untuk menyelamatkan syarikat milik negara.

“Namun BERJASA berpandangan hendaklah mengutamakan peneraju GLC tersebut dari kalangan pegawai kanan yang mempunyai kemampuan tinggi serta berpengalaman luas dan cuba mengelakkan lantikan dari kalangan orang politik,” katanya.

Kerajaan sebelum ini melantik peneraju baharu bagi memperkukuhkan dua syarikat milik kerajaan menghadapi norma dunia yang baharu.

Mereka adalah Wan Zulkiflee yang dilantik Pengerusi MAB dan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berkuat kuasa 1 Julai depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, dalam suasana ekonomi mencabar sekarang terdapat beberapa syarikat kerajaan yang perlu diperkukuhkan lagi bagi menghadapi norma dunia yang baharu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close