Berita UtamaIstimewa

Sekali lagi wakil rakyat PH pertahan arak dengan hujah lucu

Jika ini 'standard' MP, kita sedang menuju ke arah krisis kepimpinan

BANGI, 16 Syawal 1441H, Isnin – Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya ternyata tiada rasa sensitif dan apologetik sedikitpun terhadap kelompok majoriti pengundi kawasannya yang beragama Islam apabila mempertahankan penjualan arak.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, hujah ‘lucu’ Karupaiya terhadap cadangan mengharamkan atau membekukan lesen minuman keras tidak akan menyelesaikan isu pemandu mabuk sebenarnya jauh menyimpang seperti menggelupur kehilangan sesuatu.

“Apakah beliau sangka bahawa rakyat Malaysia sudah terlalu teruk akhlak dan kewarasan diri mereka sehingga memabukkan diri dan berkhayal adalah keperluan dan norma kebiasaan mereka?

“Apakah kerosakan yang berlaku di dalam masyarakat hanya boleh dirawat dengan kerosakan yang lain sedangkan banyak lagi langkah proaktif yang lebih terjamin berkesan dan selamat boleh dilakukan?

“Lagipun, memang dadah sudah pun diharamkan di Malaysia dan malah seluruh masyarakat bersatu memerangi dadah sejak di bangku sekolah lagi. Bagaimanakah dadah akan menjadi alternatif kepada arak?,” soalnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Karupaiya dilaporkan berkata, saranan membekukan lesen baharu penjualan arak mungkin akan menyebabkan ramai rakyat yang ketagihan minuman keras beralih kepada alternatif lain yang lebih membahayakan seperti penagihan dadah.

Katanya, kemungkinan cadangan tergesa-gesa itu mengakibatkan lebih ramai rakyat ketagih kepada dadah sekiranya penjualan arak dilarang secara besar-besaran.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bersedia menimbang cadangan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membekukan lesen baharu penjualan arak.

Difahamkan saranan itu berikutan sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan jalan raya berlaku membabitkan pemandu mabuk.

Pada masa sama, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi PEMBELA bimbang apabila melihat Ahli Parlimen berhujah sedemikian memandangkan mereka jugalah yang menjadi pembuat polisi negara melalui Parlimen.

Beliau berkata, jika ini ‘standard’ Ahli Parlimen, memang ini menjadi indikator awal bahawa kita sedang menuju ke arah krisis kepimpinan jika terus membiarkan pemain-pemain politik bermaharajalela sebegini.

“Justeru, saya minta agar rakyat mula cakna akan tindak-tanduk wakil-wakil rakyat masing-masing. Jangan biarkan mereka rasa selesa bercakap secara semberono sebegini kerana ianya melibatkan maruah anda.

“Kita perlu memastikan parti-parti politik keluar dari zon selesa mereka dan buatkan mereka mula berfikir untuk mengetengahkan calon-calon yang berkualiti untuk dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang,” kataya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close