Berita Utama

100 hari PM: Cemerlang namun perlu perkasakan agenda Melayu, Islam

Usah ulangi kesilapan PH perkotak-katik suara majoriti, agenda Islam

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Syawal 1441H, Selasa – Prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang sudah pun mencapai hari ke-100, hari ini dapat didefinisikan sebagai sebuah pentadbiran yang agak cemerlang.

Terutama sekali apabila Ahli Parlimen Pagoh itu menggalas tanggungjawab kritikal ketika negara dilanda krisis kesihatan akibat penularan pandemik COVID-19 selama berbulan-bulan, hingga memberi kesan signifikan kepada ekonomi.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, meskipun Muhyiddin pada awalnya menerima kecaman hebat apabila dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8, beliau tetap teguh melaksanakan tugas dengan mengutamakan kebajikan rakyat dan ekonomi negara. 

“100 hari pentadbiran negara di bawah pimpinan Muhyiddin boleh dikatakan sebagai agak cemerlang dalam tangani masalah COVID-19, krisis ekonomi dan pesaing politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, Haji Aminuddin menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini perlu lebih memperkasakan agenda Melayu Islam dalam perjuangan mereka.

“Kita mahukan kerajaan ini supaya tidak memperkotak-katikkan agenda Islam sebagaimana yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang sering mengabaikan suara penduduk majoriti iaitu umat Islam di negara ini.

“Kita sambut baik tindakan kerajaan yang sehingga kini tidak membenarkan pub, kelab malam, rumah urut dibuka. Semoga perkara ini dapat diteruskan,” katanya.

Pada masa sama, katanya lagi, kerajaan PN juga diminta supaya memberi tumpuan kepada segala kes salah guna kuasa termasuk kes membabitkan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sudah pun berlalu dua tahun tanpa sebarang keadilan.

“Kaji semula semua kes yang pincang, pada masa sama, tangani masalah rasisme yang sering diwujudkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). PM lebih faham kerana beliau merupakan bekas Menteri Pendidikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button