Berita UtamaUncategorized

Solat Jumaat, berjemaah 5 waktu di Terengganu mulai 12 Jun

Kebenaran diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA TERENGGANU, 17 Syawal 1441H, Selasa – Solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah dibenarkan di semua masjid di Terengganu bermula Jumaat ini (12 Jun), kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Osman Muda.

Beliau berkata kebenaran itu diberikan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi membolehkan aktiviti-aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan solat jemaah kembali dilaksanakan di masjid.

“Kebenaran ini juga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan berdasarkan pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri Terengganu dan Majlis Keselamatan Negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan jemaah yang dibenarkan hadir adalah mengikut ruang keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu meter antara ahli jemaah tidak termasuk pegawai dan kakitangan masjid atau yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenar hadir termasuk yang menghidap penyakit kronik.

“Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing dilarang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu lima waktu sepanjang tempoh PKPP dilaksanakan sehingga 31 Ogos depan,” katanya.

Osman berkata jemaah perlu mematuhi SOP iaitu mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, tidak bersentuhan dan bersalaman, tidak dibenarkan berkumpul selepas solat di dalam atau luar masjid, berwuduk terlebih dahulu di rumah dan membawa sejadah sendiri.

Beliau berkata khutbah Jumaat pula hendaklah ditumpukan pada rukun sahaja dengan tidak melebihi tujuh minit manakala solat sunat tidak dibenarkan di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid, katanya.

Katanya mana-mana masjid atau surau yang tidak mampu untuk memenuhi kesemua SOP dan syarat yang ditetapkan tidak dibenarkan untuk melaksanakan ibadat solat berkenaan.

“Baginda mengharapkan supaya semua ahli jawatankuasa masjid dan surau serta ahli jemaah memainkan peranan dalam memastikan semua arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dapat diikuti dan dipatuhi.

“Selain itu, Sultan Mizan juga mengharapkan semua rakyat terus mematuhi segala arahan pihak berkuasa dalam memastikan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya dan negara kita benar-benar bebas daripada wabak COVID-19 dan teruskan berdoa semoga wabak ini diangkat segera oleh Allah SWT,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close