Berita Utama

Bapa Menteri Besar N. Sembilan meninggal dunia

Allahyarham meninggal dunia pada usia 106 tahun di kediamannya

SEREMBAN, 17 Syawal 1441H, Selasa – Bapa kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Harun Selamat meninggal dunia pada pukul 7.45 malam ini kerana sakit tua.

Pegawai Media kepada Datuk Seri Aminuddin Harun, Nor Azman Mohamad berkata Allahyarham meninggal dunia pada usia 106 tahun di kediamannya di Kampung Pachitan, Chuah, Port Dickson.

“Jenazah akan di solatkan dikediamannya dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sawah, Chuah, pukul 10 pagi esok,” katanya di sini.

Berita sedih itu turut dikongsi di laman Facebook rasmi Menteri Besar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam catatan di Facebooknya merakamkan ucapan takziah kepada Aminuddin dan keluarga diatas pemergian bapa.

“Terima berita sedih ayahanda kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Harun Bin Tuan Haji Selamat, telah meninggal dunia. Saya berkesempatan menziarahi Allahyarham di rumahnya sebelum ini.

“Saya ucap takziah kepada keluarga Datuk Menteri Besar dengan doa agar dikurniakan kekuatan menempuh ujian besar ini. Semoga urusan keluarga dipermudahkan, insyaAllah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button