Berita Utama

Beraninya MCA cadang buka masuk pelancong dari China

Siapa boleh pastikan pelancong China sedia ada akan pulang?

BANGI, 17 Syawal 1441H, Selasa – Tatkala rakyat runsing dan sangsi dengan masalah ratusan ribu pelancong asing yang tidak pulang ke negara mereka, pemimpin MCA dengan berani menggesa penggalakan perniagaan pelancongan dengan China dan ASEAN terutamanya Vietnam serta Thailand.

Tidak berpuas hati dengan gesaan itu, Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menyifatkan, ia sebagai amat tidak wajar memandangkan ratusan ribu warga asing terutama dari China dan India masih tidak dapat dikesan keberadaan mereka ketika ini.

Bahkan, katanya, tiada rekod keluar sebanyak 95 peratus daripada pelancong asing setelah mereka masuk ke negara ini bermula 2016 hingga 2018. 

“Siapakah yang akan pastikan ratusan ribu pelancong China yang sedia ada di Malaysia pulang ke China sebelum puluhan atau ratusan ribu yang lain berkunjung ke Malaysia?

“Itu belum lagi diambil kira masalah wabak COVID-19 yang belum pulih ke tahap yang lebih selamat di seluruh negara.

“Di manakah tahap pemikiran dan fokus perjuangan politik di kalangan pemimpin Melayu hari ini?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia, Datuk Seri Chuah Poh Khiang menggesa kerajaan membuka semula pintunya kepada pelancong perniagaan dari rakan dagang serantau secara berperingkat terutamanya ASEAN, China dan negara-negara jalur dan laluan dengan syarat keselamatan tertentu.

Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan membenarkan pelancong perniagaan yang memenuhi syarat keselamatan untuk melancong ke Malaysia bagi menjana semula perdagangan dan pelaburan luar negara.

Mengulas lanjut, Prof Zainur menggesa pemimpin politik terutamanya orang Melayu agar berpolitik secara profesional dan mendahului agenda agama, bangsa dan negara serta menilai kembali kerjasama dengan parti-parti Cina.

“MCA, Gerakan dan DAP adalah parti politik yang berbeza tetapi mempunyai kesamaan terhadap agenda bangsa, bahasa, ekonomi dan masa depan politik bangsa Cina di Malaysia.

“Walau pun MCA hanya mempunyai dua orang Ahli Parlimen dalam kerajaan PN sekarang, namun suaranya vokal dan sentiasa memperjuangkan agenda yang menguntungkan mereka bersama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button