Berita Utama

COVID-19: Malaysia mungkin ada tiga strain A,B,C

Kena ada kajian untuk dibuktikan sama ada bermutasi atau tak

PUTRAJAYA, 17 Syawal 1441H, Selasa – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan terdapat tiga strain virus COVID-19 di Malaysia, iaitu A, B dan C.

Katanya, ini berikutan ada pesakit membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea Selatan, United Kingdom (UK) dan Timur Tengah.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia hanya akan diketahui apabila kajian mendalam dilakukan terhadap virus terbabit.

Katanya, hanya dengan membuat penjujukan genom keseluruhan membolehkan pihaknya menentukan jenis strain virus COVID-19 yang ada di negara ini.

“Saya percaya mungkin di Malaysia, kita ada ketiga-tiga strain tersebut iaitu A, B dan C kerana rakyat kita yang pulang bukan sahaja dari China sebaliknya dari pelbagai negara.

“Tapi kena ada kajian dijalankan untuk dibuktikan sama ada bermutasi atau tidak,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Noor Hisham menjelaskan, kajian ke atas 22 rakyat China yang dijangkiti COVID-19 dalam gelombang pertama, mengesahkan hanya terdapat strain B, iaitu genom dari Wuhan, China.

Pun begitu katanya, memandangkan kes positif COVID-19 semakin berkurangan di Malaysia, Noor Hisham memberitahu, kumpulan penyelidik kini mungkin boleh menumpukan pada kajian genom.

Katanya, ia adalah tanggungjawab bersama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk melakukan kajian.

Pun begitu beliau berkata, kajian ini mungkin mengambil masa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button