Berita Utama

Cubaan fitnah, JIM nafi tuduhan layanan buruk di depot

Laporan polis akan dibuat jika ada dakwaan timbul keresahan

BANGI, 17 Syawal 1441H, Selasa – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan tuduhan pemilik akaun Facebook, Heidy Quah kononnya terdapat layanan buruk terhadap seorang tahanan wanita warga asing di depot. 

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, gambar yang digunakan dalam hantaran individu terbabit bukanlah di depot imigresen, dan semakan mendapati ianya adalah pada tahun 2008. 

Mengambil serius tuduhan itu, beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, tiada pelawat dibenarkan memasuki kawasan depot imigresen.

“Sehubungan itu, pemilik akaun Heidy Quah diminta menyatakan lokasi dan depot imigresen di mana beliau bertemu dengan wanita yang dimaksudkan dalam hantaran Facebook tersebut supaya siasatan dapat dijalankan. 

“Semua tahanan diberikan sajian makanan yang berkualiti dan penyediaan makanan adalah mengikut diet makanan yang telah ditetapkan dalam kontrak pembekalan makanan seperti yang telah disyorkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan perkara itu susulan pemilik akaun terbabit mendakwa berlaku kes pukul, kematian dan makanan yang diberi tidak mencukupi serta bekalan air tidak bersih. 

Khairul berkata, kos makanan tahanan dalam depot secara purata ialah RM12.50 sehari untuk setiap tahanan, sementara bekalan air pula adalah bersih yang telah dirawat. 

“JIM sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan dalam menguruskan warga asing di depot mengikut standard yang ditetapkan dalam Nelson Mandela Rule – Minimum standard Requirement on Detention.

“Tahanan wanita dengan anak-anak kecil ditempatkan di blok berasingan. Bekalan susu bayi disediakan dan keperluan asas wanita turut dibekalkan,” katanya. 

Katanya, pengurusan depot imigresen juga sering dilawati oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Suhakam, International Committee of the Red Cross (ICRC) dan lain-lain. 

“JIM sentiasa memantau laporan-laporan di media sosial yang tidak tepat dan boleh mencemarkan nama baik jabatan. Laporan polis akan dibuat jika maklumat-maklumat yang dimuat naik tersebut bersifat fitnah dan boleh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button