Pendapat

Gugur 46 kes tuduhan rasuah, keadilan milik Allah

Dorongan politik berupaya meranapkan sistem keadilan

1. MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram kontrak konsesi balak di Sabah.

2. Pelbagai reaksi diberikan oleh masyarakat. Sebahagian mereka berpandangan, pada hakikatnya tiada bukti pendakwaan yang kukuh. Mereka menyalahkan pentadbiran PH yang terdahulu yang dikatakan telah mencipta dakwaan atas dorongan politik. Manakala pihak yang lain pula mendakwa sebenarnya memang wujud kes untuk pendakwaan. Namun digugurkan atas dorongan politik juga.

3. Perhatikan bagaimana dorongan politik berupaya meranapkan sistem keadilan. Ketahuilah bahawa agama ini adalah nasihat. Sendainya kita telah berusaha menegakkan keadilan, maka kita telah melaksanakan tanggungjawab kita. Namun sekiranya kita telah melakukan penipuan tidak kira PH mahupun PN, maka ingatlah bahawa keadilan itu milik Allah sepenuhnya di hari akhirat kelak.

4. Atas dasar itu Rasulullah menyifatkan tanggungjawab kepimpinan ini sebagai satu penyesalan yang berpanjangan. Sabda Rasulullah:

أَوَّلُهَا مَلَامَةٌ، وَثَانِيهَا نَدَامَةٌ، وَثَالِثُهَا عَذَابٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَّا مَنْ عَدَلَ

“(Kepimpinan itu) Permulaannya adalah celaan, keduanya ia akan menjadi satu penyesalan dan ketiganya ia adalah satu azab di hari kiamat kelak melainkan buat pemimpin yang adil.” (Sahih al-Bukhari)

5. Ketika menghuraikan hadis ini, Sheikh Ali al-Qari menjelaskan:

تُعْتَبَرُ صِفَةُ الْإِمَارَةِ مُسْتَمِرَّةً إِلَى يَوْمِ الدِّينِ عَلَى سَبِيلِ الْمَجَازِ

“Sifat kepimpinan ini digambarkan sebagai perkara yang berkekalan sehingga hari kiamat adalah satu kiasan.” (Mirqah al-Mafatih)  Iaitu seakan bebanan yang ditanggung oleh para pemimpin bukan sahaja di dunia, bahkan berkekalan sehingga ke akhirat.

6. Segala tadbir urus mereka bukan sahaja diaudit oleh agensi audit di dunia ini, bahkan perhitungan yang lebih dahsyat menanti di akhirat kelak. Allah akan membentangkan segala laporan amalan mereka sehingga disiasat keseluruhannya nanti. Maka bagi yang gagal melaksanakan dengan baik, bebanan ini akan menjadi satu penyesalan dan kehinaan di akhirat kelak.

7. Tanggungjawab sebagai rakyat adalah menasihat sekiranya dirasakan perlu untuk disampaikan pesanan dari Allah dan sabda Nabi. Semoga kita bersama membangunkan negara ini dengan berlandaskan kehendak syariat.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button