Berita UtamaDunia

Taliban Pakistan serang ibu pejabat polis Karachi

Tiga pegawai, seorang orang awam dilaporkan terbunuh

KARACHI, 27 Rejab 1444H, Sabtu – Polis di Karachi berjaya merampas semula ibu pejabatnya selepas diserang kumpulan militan Taliban Pakistan.

Jurucakap kerajaan berkata, pasukan keselamatan kembali mengawal bangunan ibu pejabat polis berkenaan selepas beberapa jam kemudian dan menembak mati tiga anggota militan.

Bagaimanapun, serangan itu menyebabkan tiga pegawai polis dan seorang orang awam terbunuh.

Saksi melaporkan mendengar letupan kuat daripada dalam balai polis – yang menempatkan beberapa pegawai kanan bandar – diikuti letupan lebih kecil dan tembakan.

Beberapa laporan juga mendakwa bahawa penyerang memakai pakaian seragam polis.

Sementara itu, Timbalan Inspektor Jeneral, Irfan Baloch berkata, kira-kira 30 pegawai polis berada dalam bangunan berkenaan ketika serangan.

Taliban Pakistan yang dikenali Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP) adalah gerakan berasingan yang berkongsi ideologi sama dengan Taliban di Afghanistan, selain aktif di kawasan pegunungan berhampiran sempadan Afghanistan dan beberapa bahagian lain negara itu.

Sebelum ini, TTP melancarkan serangan ke atas polis di barat laut Pakistan, sebagai sebahagian daripada kempen mereka menentang kerajaan Islamabad. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button